PROGRAM MALAYSIA DIGITAL 2021

01 September 2021 | Berita Semasa

Program Malaysia Digital 2021 merupakan kesinambungan bagi program Minggu Malaysia Digital yang pertama kalinya dianjurkan pada tahun 2020. Program ini merupakan sebuah inisiatif untuk menggalakkan komuniti sekitar Felda Trolak Utara secara khususnya dan komuniti seluruh Malaysia secara umumnya untuk memanfaatkan platform dalam talian sebaik mungkin. Bersempena dengan bulan kemerdekaan Malaysia, Pusat Internet Komuniti Felda Trolak Utara menganjurkan satu program bertujuan untuk meraikan ulang tahun kemerdekaan Malaysia yang ke-64 tahun bersama komuniti seluruh Malaysia dengan aktiviti-aktiviti penuh pengisian dan pada masa yang sama masih mematuhi norma baharu berikutan keadaan semasa negara yang masih berperang melawan wabak Covid-19.

Antara objektif utama Program Malaysia Digital 2021 ini dilaksanakan untuk meningkatkan penglibatan semua peringkat usia dalam aktiviti-aktiviti yang berasaskan digital lifestyle. Oleh hal yang demikian, semua pertandingan dan aktiviti yang dijalankan melibatkan peserta pelbagai peringkat usia daripada kanak-kanak hingga golongan dewasa. Malah terdapat beberapa pertandingan yang dianjurkan secara tertutup dan tertumpu kepada komuniti setempat melalui kolaborasi bersama beberapa pihak. Antaranya, kolaborasi bersama guru Prasekolah SK Trolak Utara untuk pertandingan Pakaian Tradisional di Malaysia dan pertandingan Reka Cipta Proton Saga Saya. Selain itu, Pusat Internet Komuniti Felda Trolak Utara turut berkolaborasi dengan Majlis Belia Felda Malaysia Trolak Utara bagi penganjuran Trolak Virtual Run 2021 buat julung kalinya.

Sejumlah lebih daripada 15 pertandingan dan aktiviti telah dijalankan sepanjang hampir sebulan penganjuran program bermula dari 6 Ogos 2021 hingga acara kemuncak penutup program yang dibawakan secara langsung melalui halaman Facebook Pusat Internet Felda Trolak Utara pada 29 Ogos 2021. Antara yang dipertandingkan ialah pertandingan Video Muzik Kreatif Lagu Kanak-kanak, Video Deklamasi Sajak, Video Pengucapan Awam, Gubahan Merdeka, Video DIY Barangan Terpakai Monumen Bersejarah dan pelbagai pertandingan lain yang bertemakan kemerdekaan. Di samping itu, Pertandingan Video Tiktok Kreatif Kostum Hari Kebangsaan, Pertandingan Poster Digital dan Pertandingan Doodle Kreatif menggalakkan peserta untuk meneroka fitur dan aplikasi-aplikasi baharu. Selain itu, pertandingan Digital Explorace turut dianjurkan sekali lagi untuk edisi ketiga berikutan maklum balas positif daripada peserta pada edisi sebelumnya.

Di samping itu, pelbagai aktiviti interaktif turut dijalankan pada Penutup Program yang bersiaran langsung melalui Facebook. Antara aktiviti interaktif yang dimaksudkan ialah Fun Quiz Teka Warna Sebenar, Fun Quiz Teka Bilangan Logo, Fun Quiz Fast Typist khusus untuk menguji kemahiran menaip peserta dan Fun Quiz Spell It Right. Pemilihan Pengunjung Digital Bertuah turut dilakukan secara interaktif pada acara yang sama. Selain itu, pemenang bagi pertandingan dan aktiviti yang dijalankan sepanjang program turut diumumkan pada Siaran Langsung Penutup.